Seksyen Cetak
10
Persediaan dan Melakukan Pukulan; Nasihat dan Bantuan; Kedi
Tujuan Peraturan: Peraturan 10 merangkumi persediaan dan melakukan pukulan, termasuk nasihat dan bantuan lain yang boleh diterima oleh pemain daripada individu lain (termasuk kedi). Prinsip asas golf adalah permainan yang melibatkan kemahiran dan cabaran peribadi.
10
Persediaan dan Melakukan Pukulan; Nasihat dan Bantuan; Kedi
10.1

Melakukan Pukulan

Tujuan Peraturan: Peraturan 10.1 merangkumi cara melakukan pukulan dan beberapa tindakan yang dilarang semasa melakukannya. Pukulan dianggap telah dilakukan dengan memukul bola dengan kepala klab. Cabaran asas pemain adalah untuk mengarahkan dan mengendalikan pergerakan keseluruhan klab secara bebas dengan mengayun klab tanpa tambatan.
10.1a

Memukul Bola Sewajarnya

Semasa melakukan pukulan:
  • Pemain mesti memukul bola sewajarnya dengan menggunakan apa-apa bahagian kepala klab di mana terjadinya sentuhan seketika di antara kepala klab dan bola dan mesti tidak menolak, menyeret atau menyedok bola.
  • Jika klab pemain dengan tidak sengaja memukul bola lebih daripada sekali, hal ini hanya satu pukulan dan tiada penalti.
10.1b

Menambat Klab

Semasa melakukan pukulan, pemain tidak boleh menambat klab, sama ada:
  • Secara langsung, dengan memegang klab atau genggaman tangan terhadap apa-apa bahagian badan (kecuali pemain boleh memegang klab atau gengaman tangan pada tangan atau lengan bawah), atau
  • Secara tidak langsung, dengan menggunakan “titik tambatan”, menahan lengan bawah pada bahagian badan dan menjadikan genggaman tangan sebagai titik stabil supaya tangan lain boleh mengayunkan klab.
Jika klab, genggaman tangan atau lengan bawah pemain hanya sekadar menyentuh badan atau pakaian semasa pukulan dilakukan, tanpa ditambat pada badan, hal ini tidak melanggar Peraturan ini. Untuk tujuan Peraturan ini, “lengan bawah” bermaksud bahagian lengan di bawah siku dan termasuk pergelangan tangan. Lihat Peraturan 25.3b dan 25.4h (pengubahsuaian Peraturan 10.1b untuk pemain tanpa anggota badan dan pemain yang menggunakan alat bantuan pergerakan).
10.1c

Melakukan Pukulan Ketika Berdiri Mengangkang atau Atas Garis Permainan

Pemain mesti tidak melakukan pukulan dari posisi sedia dengan meletakkan sebelah kaki dengan sengaja di setiap sisi, atau salah satu daripada kakinya menyentuh dengan sengaja, garis permainan atau garisan lanjutan di belakang bola. Untuk kegunaan Peraturan ini sahaja, garis permainan tidak termasuk jarak wajar di kedua-dua sisi. Pengecualian – Tiada Penalti Jika Posisi Sedia Diambil Dengan Tidak Sengaja atau Mengelak dari Garis Permainan Pemain Lain. Lihat Peraturan 25.4i (untuk pemain yang menggunakan alat bantuan pergerakan, pengubahsuaian Peraturan 10.1c termasuk posisi sedia yang diambilkan dengan mana-mana bahagian alat bantuan pergerakan).
10.1d

Bermain Bola Sedang Bergerak

Pemain mesti tidak melakukan pukulan pada bola sedang bergerak:
  • Bola dalam permainan “sedang bergerak” bila tidak tetap di tempatnya.
  • Jika bola tetap bergoyang (kadangkala dirujuk sebagai berputar) tetapi tetap atau balik semula ke tempat asal, bola tersebut dianggap tetap dan bukan bola sedang bergerak.
Tetapi terdapat tiga pengecualian tiada penalti: Pengecualian 1 – Bola Mula Bergerak Hanya Selepas Pemain Memulakan Ayunan Belakang untuk Pukulan: Melakukan pukulan pada bola sedang bergerak dalam situasi ini dirangkumi oleh Peraturan 9.1b, bukan oleh Peraturan ini. Pengecualian 2 – Bola Jatuh daripada Ti: Melakukan pukulan pada bola yang jatuh daripada ti dirangkumi oleh Peraturan 6.2b(5), bukan oleh Peraturan ini. Pengecualian 3 – Bola Bergerak di Dalam Air: Apabila bola sedang bergerak dalam air sementara atau di dalam air dalam kawasan penalti:
  • Pemain boleh melakukan pukulan pada bola yang sedang bergerak tanpa penalti, atau
  • Pemain boleh mengambil pelepasan di bawah Peraturan 16.1 atau 17, dan boleh mengangkat bola yang sedang bergerak.
Dalam mana-mana kes, pemain tidak boleh melengahkan permainan dengan tidak wajar (lihat Peraturan 5.6a) untuk membiarkan angin atau arus air mengalihkan bola tersebut ke tempat yang lebih baik. Penalti Melakukan Pukulan Melanggar Peraturan 10.1: Penalti Umum. Dalam permainan pukulan, pukulan yang melanggar Peraturan ini dikira dan pemain dikenakan dua pukulan penalti.
10.2

Nasihat dan Bantuan Lain

Tujuan Peraturan: Cabaran asas pemain adalah memutuskan strategi dan taktik permainan mereka. Jadi terdapat had tertentu berkenaan dengan nasihat dan bantuan lain yang boleh diterima oleh pemain semasa suatu pusingan.
10.2a

Nasihat

Semasa suatu pusingan, pemain mesti tidak:
  • Memberikan nasihat kepada individu yang sedang bermain dalam pertandingan di lapangan,
  • Meminta nasihat daripada individu, selain daripada kedinya, atau
  • Menyentuh peralatan pemain lain untuk memperolehi maklumat yang mungkin menjadi nasihat jika diberikan atau dipinta oleh pemain lain (seperti menyentuh klab atau beg pemain lain untuk melihat klab yang sedang digunakan).
Hal ini tidak diguna pakai sebelumpusingan, ketika permainan dihentikan di bawah Peraturan 5.7a atau antara beberapa pusingan dalam pertandingan. Penalti Melanggar Peraturan 10.2a: Penalti Umum. Dalam kedua-dua permainan lawandan permainan pukulan, penalti dikenakan dengan cara ini:
  • Pemain Meminta atau Memberikan Nasihat Apabila Salah satu Pemain Sedang Bermain Lubang. Pemain dikenakan penalti umum pada lubang yang sedang dimainkan atau baru sahaja ditamatkan.
  • Pemain Meminta atau Memberikan Nasihat Apabila Kedua-dua Pemain Berada Antara Dua Lubang. Pemain dikenakan penalti umum pada lubang yang berikutnya.
Lihat Peraturan 22, 23 dan 24 (dalam format permainan yang melibatkan pemain rakan, pemain boleh memberi nasihat kepada pemain rakan atau kedipemain rakan dan boleh meminta nasihat daripada pemain rakan atau kedi pemain rakan).
10.2b

Bantuan Lain

(1) Mendapatkan Bantuan Daripada Kedi Mengenai Garis Permainan atau Maklumat Arah yang Lain.  Apabila kedi membantu pemain mengenai garis permainan atau maklumat arah yang lain, kedi tertakluk kepada had yang berikut:
  • Kedi mesti tidak meletakkan objek untuk membantu (dan pemain tidak boleh mengelak daripada dikenakan penalti dengan mengalihkan objek tersebut sebelum pukulan dilakukan).
  • Ketika pukulan tersebut dilakukan, kedi mesti tidak:
    • Berdiri di tempat pemain akan bermain ke arahnya, atau
    • Melakukan suatu tindakan untuk membantu (seperti menunjukkan tempat di atas tanah).
  • Kedi tersebut mesti tidak berdiri dalam kawasan larangan apabila tidak dibenarkan di bawah Peraturan 10.2b(4).
Tetapi Peraturan ini tidak melarang kedi daripada berdiri dekat lubang untuk menjaga tiang bendera. (2) Mendapatkan Bantuan Individu Lain Selain Daripada Kedi Mengenai Garis Permainan atau Maklumat Arah yang Lain. Pemain mesti tidak mendapatkan bantuan mengenai garis permainan daripada individu lain selain daripada kedi mereka, kecuali seperti berikut:
  • Individu itu boleh membantu memberikan maklumat umum berkenaan dengan sesuatu objek (seperti menunjukkan pokok yang berada di tengah-tengah fairway yang tidak kelihatan).
  • Selain daripada apabila bola pemain berada di grin, individu itu boleh berdiri di tempat pemain mengarahkan pukulan mereka, tetapi mesti beredar sebelum pukulan tersebut dilakukan.
Tetapi Peraturan ini tidak melarang individu berdiri berdekatan lubang untuk menjaga tiang bendera.
(3) Tidak Meletakkan Objek untuk Membantu Sasaran, Mengambil Posisi Sedia atau Mengayun. Pemain mesti tidak meletakkan suatu objek untuk membantu mengambil posisi sedia untuk pukulan yang dilakukan (seperti menggunakan klab yang diletakkan di atas tanah untuk menunjukkan arah atau kedudukan kaki mereka). “Meletakkan objek” bermaksud bahawa objek itu bersentuhan dengan tanah dan pemain tidak menyentuh objek tersebut. Jika pemain melanggar Peraturan ini, mereka tidak dapat mengelak daripada dikenakan penalti dengan mengalihkan objek tersebut sebelum pukulan dilakukan. Peraturan ini juga diguna pakai untuk mengambil tindakan untuk tujuan yang serupa, seperti pemain meletakkan tanda di atas pasir atau embun untuk membantu ayunan mereka. Peraturan ini tidak diguna pakai untuk penanda bola apabila digunakan untuk menandakan tempat bola atau apabila bola diletakkan di sesuatu tempat. Tetapi penanda bola yang menepati definisi alat jajaran dalam Peraturan Peralatan terkandung di bawah Peraturan 4.3. Lihat Peraturan 25.2c (pengubahsuaian Peraturan 10.2b(3) untuk pemain OKU buta). (4) Kawasan Larangan Kedi Sebelum Pemain Melakukan Pukulan. Apabila pemain mula mengambil posisi sedia untuk pukulan (bermaksud mereka mempunyai sekurang-kurangnya sebelah kaki untuk posisi sedia itu) dan sehingga pukulan dilakukan, terdapat beberapa had berkenaan dengan masa dan sebab kedi pemain boleh berdiri dengan sengaja di atas atau berdekatan dengan lanjutan garis permainan di belakang bola (iaitu, “kawasan larangan”) seperti berikut:
  • Sasaran. Kedi mesti tidak berdiri dalam kawasan larangan untuk membantu pemain membuat sasaran. Bantuan ini termasuk apabila kedi beredar tanpa menyatakan apa-apa tetapi, dengan berbuat demikian, memberikan isyarat kepada pemain bahawa mereka mengarahkan dengan betul pada sasaran yang diniatkan. Tetapi tiada penalti dikenakan jika pemain beredar sebelum melakukan pukulan dan kedi beredar daripada kawasan larangan tersebut sebelum pemain sekali lagi mula untuk mengambil posisi sedia untuk pukulan tersebut.
  • Bantuan Selain Daripada Sasaran. Jika kedi membantu pemain mengenai perkara tertentu selain daripada sasaran (seperti memeriksa untuk melihat jika klab pemain terkena pokok semasa ayunan belakang), kedi boleh berdiri dalam kawasan larangan tetapi hanya jika kedi tersebut beredar sebelum pukulan dilakukan dan kedudukan ini bukan sebahagian daripada rutin biasa.
Tiada penalti jika kedi dengan tidak sengaja berdiri dalam kawasan larangan tersebut. Peraturan ini tidak melarang pemain daripada mendapatkan bantuan individu lain selain daripada kedi pemain untuk berdiri dalam kawasan larangan untuk membantu mengesan arah perjalanan bola. Lihat Peraturan 22, 23 dan 24 (dalam format permainan yang melibatkan pemain rakan dan pemberi nasihat, pemain rakan, kedi pemain rakan dan mana-mana pemberi nasihat dihadkan dengan cara yang sama). Lihat Peraturan 25.2d (pengubahsuaian Peraturan 10.2b(4) untuk pemain OKU buta). (5) Bantuan Fizikal, Menghapuskan Gangguan dan Perlindungan Unsur Alam. Pemain mesti tidak melakukan pukulan:
  • Ketika menerima bantuan fizikal daripada kedi mereka atau individu lain, atau
  • Dengan sengaja menempatkan kedi mereka atau individu lain atau objek untuk:
    • Menghapuskan gangguan, atau
    • Memberikan perlindungan daripada cahaya matahari, hujan, angin atau unsur alam lain.
Peraturan ini tidak melarang pemain daripada:
  • Mengambil tindakan untuk melindungi diri sendiri daripada unsur alam ketika melakukan pukulan, seperti memakai pakaian perlindungan atau memegang payung di atas kepala, atau
  • Meminta individu lain yang tidak ditempatkan dengan sengaja oleh pemain untuk kekal berada ditempatnya atau beredar dari situ (seperti apabila penonton membayangi bola pemain). 
Penalti Melanggar Peraturan 10.2: Penalti Umum.
10.3

Kedi

Tujuan Peraturan: Pemain boleh mempunyai kedi untuk membawa klab dan memberi nasihat dan bantuan lain semasa pusingan, tetapi terdapat had tentang apa yang dibenarkan untuk dilakukan oleh kedi. Pemain bertanggungjawab di atas tindakan kedi semasa pusingan tersebut dan akan dikenakan penalti jika kedi melanggar Peraturan.
10.3a

Kedi Boleh Membantu Semasa Pusingan

(1) Pemain Dibenarkan Menggunakan Hanya Satu Kedi Pada Satu Masa. Pemain boleh menggunakan kedi untuk membawa, mengangkut dan mengendalikan klab pemain, memberi nasihat dan membantu pemain dalam perkara lain yang dibenarkan semasa pusingan, tetapi tertakluk kepada had yang berikut:
  • Pemain mesti tidak menggunakan lebih daripada satu kedi pada satu masa.
  • Pemain boleh menukar kedi semasa pusingan, tetapi mesti tidak berbuat demikian hanya untuk sementara waktu dengan tujuan untuk mendapatkan nasihat daripada kedi baharu tersebut.
Sama ada pemain mempunyai kedi atau tidak, individu lain yang berjalan atau menumpang bersama dengan pemain atau membawa barang untuk pemain (seperti baju hujan, payung, makanan atau minuman) adalah bukan kedi pemain kecuali individu tersebut telah dinamakan demikian oleh pemain atau juga membawa, mengangkut atau mengendalikan klab pemain. (2) Dua Orang atau Lebih Pemain Boleh Berkongsi Kedi. Apabila terdapat isu Peraturan yang melibatkan tindakan spesifik oleh kedi yang dikongsikan dan perlu diputuskan untuk pemain mana tindakan tersebut telah diambilkan:
  • Jika tindakan kedi telah diambil atas arahan spesifik salah seorang daripada pemain yang berkongsi kedi tersebut, tindakan telah diambilkan untuk pemain itu.
  • Jika tiada daripada pemain tersebut memberikan arahan spesifik untuk tindakan itu, tindakan tersebut dianggap telah diambilkan untuk pemain yang berkongsi kedi yang bolanya terlibat.
  • Jika tiada pemain-pemain yang berkongsi kedi tersebut dengan spesifik mengarahkan tindakan kedi dan tiada bola daripada pemain-pemain tersebut terlibat, semua pemain yang berkongsi kedi tersebut dikenakan penalti. 
Lihat Prosedur Jawatankuasa, Seksyen 8; Model Peraturan Tempatan H-1 (Jawatankuasa boleh menerima pakai Peraturan Tempatan untuk melarang atau menghendaki penggunaan kedi atau mengehadkan pilihan kedi pemain). Lihat Peraturan 25.2, 25.4 dan 25.5 (pemain yang mempunyai ketidakupayaan tertentu boleh juga mendapatkan bantuan daripada pembantu). Penalti Melanggar Peraturan 10.3a:
  • Pemain dikenakan penalti umum untuk setiap lubang semasa dibantu oleh lebih daripada seorang kedi pada satu masa.
  • Jika pelanggaran Peraturan berlaku atau berterusan antara dua lubang, pemain dikenakan penalti umum pada lubang yang berikutnya.
10.3b

Apa yang Boleh Dilakukan oleh Kedi

Berikut adalah contoh apa yang dibenarkan dan tidak dibenarkan untuk dilakukan oleh kedi: (1) Tindakan Sentiasa Dibenarkan. Kedi sentiasa boleh mengambil tindakan berikut apabila dibenarkan di bawah Peraturan: (2) Tindakan Dibenarkan Hanya Dengan Arahan Pemain. Kedi boleh mengambil tindakan berikut hanya apabila Peraturan membenarkan pemain berbuat demikian dan hanya dengan arahan pemain (yang mesti diberikan spesifik setiap kali dan bukan secara am untuk sesuatu pusingan):
  • Memulihkan keadaan yang menjadi bertambah buruk selepas bola pemain tetap (Peraturan 8.1d ).
  • Apabila bola pemain berada di mana-mana tempat, kecuali di grin, mengangkat bola pemain di bawah Peraturan yang menghendaki bola tersebut diletakkan semula (Peraturan 14.1b).
(3) Tindakan Tidak Dibenarkan. Kedi tidak dibenarkan mengambil tindakan yang berikut untuk pihak pemain:
  • Memberikan kemenangan untuk pukulan yang berikutnya, lubang atau perlawanan tersebut kepada pemain lawan atau bersetuju dengan pemain lawan mengenai skor perlawanan (Peraturan 3.2).
  • Meletakkan semulabola, kecuali apabila kedi telah mengangkat atau mengalihkan bola tersebut (Peraturan 14.2b).
  • Menjatuhkan atau meletakkan bola semasa mengambil pelepasan (Peraturan 14.3).
  • Memutuskan untuk mengambil pelepasan di bawah Peraturan (seperti menganggap bola tidak boleh dimainkan di bawah Peraturan 19 atau mengambil pelepasan daripada keadaan lapangan tidak normal atau kawasan penalti di bawah Peraturan 16.1 atau 17); kedi boleh menasihatkan pemain untuk berbuat demikian, tetapi pemain mesti memutuskan.
10.3c

Pemain Bertanggungjawab Atas Tindakan dan Pelanggaran Peraturan oleh Kedi

Pemain bertanggungjawab di atas tindakan kedi mereka semasa pusingan dan ketika permainan dihentikan di bawah Peraturan 5.7a, tetapi tidak sebelum atau selepas suatu pusingan. Jika tindakan kedi melanggar atau akan melanggar Peraturan jika tindakan tersebut diambil oleh pemain, pemain tersebut dikenakan penalti di bawah Peraturan itu. Apabila penggunaan Peraturan bergantung sama ada pemain menyedari mengenai fakta tertentu, pengetahuan pemain dianggap termasuk apa-apa yang diketahui oleh kedi mereka.
TEROKAI SELANJUTNYA
Peraturan 1Permainan, Kelakuan dan Peraturan
Tujuan Peraturan: Peraturan 1 memperkenalkan prinsip asas permainan untuk pemain: Bermain di lapangan sedia ada dan bermain bola di kedudukannya. ...
Baca selanjutnya