Print Section
8
Lapangan Dimainkan Seperti Sedia Ada
Tujuan Peraturan: Peraturan 8 merangkumi prinsip asas permainan golf “bermain lapangan seperti sedia ada”. Apabila bola pemain berada dalam keadaan tetap, pemain biasanya patut menerima keadaan mempengaruhi pukulan dan tidak menambah baik keadaan tersebut sebelum bermain bola. Walau bagaimanapun, pemain boleh mengambil beberapa tindakan wajar walaupun mereka menambah baik keadaan tersebut, dan terdapat beberapa keadaan tertentu yang boleh dipulihkan tanpa penalti selepas keadaan tersebut telah ditambah baik atau menjadi bertambah buruk.
8
Lapangan Dimainkan Seperti Sedia Ada
8.1

Tindakan Pemain Menambah Baik Keadaan Mempengaruhi Pukulan

Untuk menyokong prinsip “bermain lapangan seperti sedia ada”, Peraturan ini menyekat tindakan yang mungkin dilakukan oleh pemain untuk menambah baik apa-apa keadaan berikut yang dilindungi oleh “keadaan mempengaruhi pukulan” (di mana-mana tempat dalam atau luar lapangan) untuk pukulan berikutnya yang akan dilakukan oleh pemain:
  • Kedudukan bola tetap pemain,
  • Kawasan posisi sedia yang diniatkan oleh pemain,
  • Kawasan ayunan yang diniatkan oleh pemain,
  • Garis permainan pemain, dan
  • Kawasan pelepasan pemain akan menjatuhkan atau meletakkan bola.
Peraturan ini diguna pakai untuk tindakan yang diambil semasa pusingan dan ketika permainan dihentikan di bawah Peraturan 5.7a. Hal ini tidak diguna pakai untuk:
  • Mengalihkan rintangan terlerai atau halangan boleh alih yang dibenarkan seperti yang disediakan dalam Peraturan 15, atau
  • Tindakan yang dilakukan ketika bola pemain dalam pergerakan yang dirangkumi oleh Peraturan 11.
8.1a

Tindakan yang Tidak Dibenarkan

Kecuali dengan cara terhad yang dibenarkan dalam Peraturan 8.1b, c dan d, pemain mesti tidak mengambil mana-mana tindakan yang berikut jika mereka menambah baik keadaan mempengaruhi pukulan: (1) Mengalihkan, membengkokkan atau mematahkan apa-apa:
  • Benda semula jadi yang tumbuh atau melekat,
  • Halangan tidak boleh alih, objek integral atau objek sempadan, atau
  • Penanda ti untuk kawasan ti apabila bermain bola dari kawasan ti itu.
(2) Mengalihkan rintangan terlerai atau halangan boleh alih ke tempat lain (seperti untuk mengukuhkan posisi sedia atau menambah baik garis permainan). (3) Mengubah keadaan permukaan tanah, termasuk dengan:
  • Meletakkan semula divot ke dalam lubang divot,
  • Mengalihkan atau menekan divot yang telah diletakkan semula atau potongan rumput lain yang telah diletakkan di tempatnya, atau
  • Mewujudkan atau menutup lubang, lekukan atau permukaan tanah tidak rata.
(4) Mengalihkan atau menekan pasir atau tanah peroi. (5) Mengesat embun, fros atau air. Penalti Melanggar Peraturan 8.1a: Penalti Umum.
8.1b

Tindakan yang Dibenarkan

Dalam persediaan untuk melakukan pukulan, pemain boleh mengambil mana-mana tindakan yang berikut dan tiada penalti walaupun semasa berbuat demikian akan menambah baik keadaan mempengaruhi pukulan: (1) Mencari bola mereka dengan wajar dengan mengambil tindakan yang perpatutan mencari dan mengenal pasti bola tersebut (lihat Peraturan 7.1a). (2) Mengambil tindakan yang berpatutan mengalihkan rintangan terlerai (lihat Peraturan 15.1) dan halangan boleh alih (lihat Peraturan 15.2). (3) Mengambil tindakan yang berpatutan menanda tempat bola dan mengangkat dan meletakkan semula bola di bawah Peraturan 14.1 dan 14.2. (4) Meletakkan klab di atas tanah dengan ringan di depan atau di belakang bola. “Meletakkan klab di tanah” bermaksud membenarkan berat klab tersebut didokong oleh rumput, tanah, pasir atau bahan lain pada atau di permukaan tanah.  Tetapi hal ini tidak membenarkan:
  • Menekan klab di permukaan tanah, atau
  • Apabila bola berada dalam bunker, menyentuh pasir betul-betul di hadapan atau di belakang bola (lihat Peraturan 12.2b(1)).
(5) Mengukuhkan kedudukan kaki semasa mengambil posisi sedia, termasuk menggali menggunakan kaki dengan wajar dalam pasir atau tanah peroi. (6) Mengambil posisi sedia dengan wajar dengan mengambil tindakan yang berpatutan untuk pergi ke tempat bola dan mengambil posisi sedia. Tetapi apabila berbuat demikian pemain:
  • Tidak berhak untuk mendapatkan posisi sedia atau ayunan yang normal, dan
  • Mesti menggunakan cara yang paling tidak mengganggu untuk menghadapi situasi tertentu tersebut.
(7) Melakukan pukulan atau ayunan belakang untuk pukulan yang kemudiannya dilakukan. Tetapi apabila bola berada dalam bunker, menyentuh pasir dalam bunker semasa mengambil ayunan belakang tidak dibenarkan di bawah Peraturan 12.2b(1). (8) Dalam kawasan ti:
  • Memacakkan ti ke dalam atau di tanah (lihat Peraturan 6.2b(2)),
  • Mengalihkan, membengkokkan atau mematahkan apa-apa benda semula jadi yang tumbuh atau melekat (lihat Peraturan 6.2b(3)), dan
  • Mengubah keadaan permukaan tanah, mengalih atau menekan pasir dan tanah, atau mengesat embun, fros atau air (lihat Peraturan 6.2b(3)).
(9) Dalam bunker, meratakan pasir untuk menjaga lapangan selepas bola yang dimainkan dari bunker berada di luar bunker tersebut (lihat Peraturan 12.2b(3)). (10) Di grin, mengalihkan pasir dan tanah peroi dan membaiki kerosakan (lihat Peraturan 13.1c). (11) Mengalihkan benda semula jadi untuk memeriksa sama ada terlerai atau tidak. Tetapi jika benda tersebut didapati tumbuh atau melekat, ia mesti kekal melekat dan dikembalikan sebaik mungkin ke tempat asalnya. Lihat Peraturan 25.4g (pengubahsuaian Peraturan 8.1b (5) semasa mengambil posisi sedia untuk pemain yang menggunakan alat bantuan pergerakan).
8.1c

Mengelak Penalti dengan Memulihkan Keadaan yang Ditambah Baik Melanggar Peraturan 8.1a(1) atau8.1a(2)

Jika pemain telah menambah baik keadaan mempengaruhi pukulan dengan mengalihkan, membengkokkan atau mematahkan objek yang melanggar Peraturan 8.1a(1) atau mengalihkan objek ke tempat yang melanggar Peraturan 8.1a(2):
  • Tiada penalti jika, sebelum melakukan pukulan yang berikutnya, pemain menghapuskan penambahbaikan itu dengan memulihkan keadaan asal dengan cara yang dibenarkan dalam (1) dan (2) di bawah.
  • Tetapi jika pemain menambah baik keadaan mempengaruhi pukulan dengan mengambil apa-apa tindakan lain yang dirangkumi oleh Peraturan 8.1a(3)-(5), mereka tidak dapat mengelak daripada dikenakan penalti kerana memulihkan keadaan asal.
(1) Bagaimana Memulihkan Keadaan yang Telah Ditambah Baik dengan Mengalihkan, Membengkokkan atau Mematahkan Objek tersebut. Sebelum melakukan pukulan, pemain boleh mengelak dikenakan penalti melanggar Peraturan 8.1a(1) dengan memulihkan objek asal sebaik mungkin ke tempat asal supaya penambahbaikan yang telah diwujudkan oleh pelanggaran Peraturan tersebut dapat dihapuskan, seperti dengan:
  • Meletakkan semula objek sempadan (seperti kayu pancang sempadan) yang telah dialihkan atau mengalihkan objek sempadan ke tempat asal selepas disengetkan, atau
  • Mengembalikan dahan pokok atau rumput, atau halangan tidak boleh alih ke tempat asal selepas dialihkan.
Tetapi pemain tidak dapat mengelak daripada dikenakan penalti:
  • Jika penambahbaikantersebut tidak dihapuskan (seperti apabila objek sempadan atau dahan pokok telah dibengkokkan atau dipatahkan dengan ketara sehingga tidak boleh dikembalikan ke tempat asal), atau
  • Dengan menggunakan apa-apa benda selain daripada objek asal tersebut untuk cuba memulihkan keadaan, seperti:
    • Menggunakan benda lain atau benda tambahan (sebagai contoh, meletakkan kayu pancang lain di dalam lubang objek sempadan yang telah dialihkan atau mengikat dahan yang telah dialihkan ke tempatnya), atau
    • Menggunakan bahan lain untuk membaiki objek asal (sebagai contoh, menggunakan pita pelekat untuk membaiki objek sempadan atau dahan patah).
(2) Bagaimana Memulihkan Keadaan yang Diperbaikkan Dengan Mengalihkan Objek ke Tempatnya. Sebelum melakukan pukulan,pemain boleh mengelak daripada penalti melanggar Peraturan 8.1a(2) dengan mengalihkan objek yang telah dialihkan ke tempatnya.
8.1d

Memulihkan Keadaan Bertambah Buruk Selepas Bola Menetap

Jika keadaan mempengaruhi pukulan menjadi bertambah buruk selepas bola pemain menetap: (1) Bila Pemulihan Keadaan Bertambah Buruk Dibenarkan. Jika keadaan mempengaruhi pukulan menjadi bertambah buruk disebabkan oleh individu selain daripada pemain atau haiwan, tiada penalti di bawah Peraturan 8.1a pemain boleh:
  • Memulihkan keadaan asal tersebut sebaik mungkin.
  • Menanda tempat bola dan mengangkat, membersih dan meletakkan semula bola di tempat asal (lihat Peraturan 14.1 dan 14.2), jika wajar berbuat demikian untuk memulihkan keadaan asal atau jika terdapat apa-apa benda melekat pada bola apabila keadaan tersebut menjadi bertambah buruk.
  • Jika keadaan yang menjadi bertambah buruk tidak boleh dipulihkan dengan mudah, mengangkat dan meletakkan semula bola dengan meletakkannya di tempat terdekat (tidak lebih dekat dengan lubang) yang (1) mempunyai keadaan mempengaruhi pukulan yang hampir sama, (2) berada dalam satu panjang klab dari tempat asal, dan (3) berada dalam kawasan lapangan yang sama dengan tempat itu.
Pengecualian – Kedudukan Bola Menjadi Bertambah Buruk Bila atau Selepas Bola Diangkat atau Dialihkan dan Sebelum Diletakkan Semula: Hal ini dirangkumi oleh Peraturan 14.2d, kecuali kedudukan bola menjadi bertambah buruk apabila permainan dihentikan dan bola telah diangkatkan yang mana Peraturan ini diguna pakai. (2) Bila Pemulihan Keadaan yang Menjadi Bertambah Buruk Tidak Dibenarkan. Pemain mesti tidak menambah baik keadaan mempengaruhi pukulan (kecuali seperti yang dibenarkan dalam Peraturan 8.1c(1), 8.1c(2) dan Peraturan 13.1c) yang telah disebabkan oleh:
  • Pemain, termasuk kedi pemain,
  • Individu lain (selain daripada pengadil) mengambil tindakan yang dibenarkan oleh pemain, atau
  • kuasa semula jadi seperti angin atau air.
Jika pemain menambah baik keadaan yang bertambah buruk tersebut apabila tidak dibenarkan berbuat demikian, pemain dikenakan penalti umum di bawah Peraturan 8.1a. Penalti Bermain Bola dari Tempat Salah Melanggar Peraturan 8.1d: Penalti umum di Bawah Peraturan 14.7a. Lihat Peraturan 22.2 (dalam Empatan, mana-mana pemain rakan boleh bertindak untuk regu dan tindakan pemain rakan tersebut dianggap sebagai tindakan pemain); 23.5 (dalam Empat Bola, mana-mana pemain rakan boleh bertindak untuk regu dan tindakan pemain rakan tersebut yang melibatkan bola atau peralatan pemain dianggap sebagai tindakan pemain).
8.2

Tindakan Sengaja Pemain Mengubah Keadaan Fizikal Lain untuk Mempengaruhi Bola Tetap Pemain atau Pukulan yang Akan Dilakukan

8.2a

Bila Peraturan 8.2 Diguna Pakai

Peraturan ini merangkumi tindakan sengaja yang dilakukan oleh pemain untuk mengubah keadaan fizikal lain untuk mempengaruhi bola tetap mereka atau pukulan yang akan dilakukan. Peraturan ini tidak diguna pakai untuk tindakan pemain:
  • Dengan sengaja memesongkan atau menghentikan bola mereka atau dengan sengaja mengubah keadaan fizikal untuk mempengaruhi tempat bola tersebut akan menetap (dirangkumi oleh Peraturan 11.2 dan 11.3), atau
  • Mengubah keadaan mempengaruhi pukulan pemain (yang dirangkumi oleh Peraturan 8.1a).
8.2b

Tindakan Dilarang untuk Mengubah Keadaan Fizikal Lain

Pemain mesti tidak dengan sengaja mengambil tindakan yang telah disenaraikan dalam Peraturan 8.1a (kecuali dibenarkan oleh Peraturan 8.1b, c atau d) untuk mengubah apa-apa keadaan fizikal lain sepertinya untuk mempengaruhi:
  • Tempat bola pemain akan pergi atau tetap selepas pukulan berikutnya atau pukulan kemudiannya, atau
  • Tempat bola tetap pemain akan pergi atau tetap jika ia beralih sebelum pukulan dilakukan (sebagai contoh, apabila bola berada di cerun yang curam dan pemain bimbang bola akan bergolek ke dalam semak).
Pengecualian – Tindakan Menjaga Lapangan: Tiada penalti di bawah Peraturan ini jika pemain mengubah keadaan fizikal lain untuk menjaga lapangan(seperti meratakan bekas tapak kaki dalam bunker atau meletakkan semula divot ke dalam lubang divot). Penalti Melanggar Peraturan 8.2: Penalti Umum. Lihat Peraturan 22.2 (dalam Empatan, mana-mana pemain rakan boleh bertindak untuk regu dan tindakan pemain rakan tersebut dianggap sebagai tindakan pemain); 23.5 (dalam Empat Bola, mana-mana pemain rakan boleh bertindak untuk regu dan tindakan pemain rakan tersebut yang melibatkan bola atau peralatan pemain dianggap sebagai tindakan pemain).
8.3

Tindakan Sengaja Pemain Mengubah Keadaan Fizikal untuk Mempengaruhi Bola Tetap Pemain Lain atau Pukulan yang Akan Dilakukan

8.3a

Bila Peraturan 8.3 Diguna Pakai

Peraturan ini hanya merangkumi tindakan sengaja pemain untuk mengubah keadaan fizikal untuk mempengaruhi bola tetap pemain lain atau pukulan yang akan dilakukan oleh pemain lain itu. Peraturan ini tidak diguna pakai untuk tindakan sengaja pemain memesongkan dan menghentikan bola dalam pergerakan pemain lain atau dengan sengaja mengubah keadaan fizikal untuk mempengaruhi tempat bola tersebut akan menetap (hal ini dirangkumi oleh Peraturan 11.2dan 11.3).
8.3b

Tindakan Dilarang untuk Mengubah Keadaan Fizikal Lain

Pemain mesti tidak dengan sengaja mengambil tindakan yang telah disenaraikan dalam Peraturan 8.1a (kecuali dibenarkan dalam Peraturan 8.1b, c atau d) untuk:
  • Menambak baik atau memburukkan keadaan mempengaruhi pukulan pemain lain,
  • atau Mengubah apa-apa keadaan fizikal lain untuk mempengaruhi:
    • Tempat bola pemain lain akan pergi atau tetap selepas pukulan pemain itu yang berikutnya atau pukulan kemudiannya, atau
    • Tempat bola pemain lain akan pergi atau tetap jika bola tersebut beralih sebelum pukulan dilakukan.
Pengecualian – Tindakan Menjaga Lapangan: Tiada penalti di bawah Peraturan ini jika pemain mengubah keadaan fizikal lain untuk menjaga lapangan (seperti meratakan bekas tapak kaki dalam bunker atau meletakkan semula divot ke dalam lubang divot). Penalti Melanggar Peraturan 8.3: Penalti Umum. Lihat Peraturan 22.2 (dalam Empatan, mana-mana pemain rakan boleh bertindak untuk regu dan tindakan pemain rakan tersebut dianggap sebagai tindakan pemain); 23.5 (dalam Empat Bola, mana-mana pemain rakan boleh bertindak untuk regu dan tindakan pemain rakan tersebut yang melibatkan bola atau peralatan pemain dianggap sebagai tindakan pemain).
EXPLORE MORE
Rule 1Permainan, Kelakuan dan Peraturan
Tujuan Peraturan: Peraturan 1 memperkenalkan prinsip asas permainan untuk pemain: Bermain di lapangan sedia ada dan bermain bola di kedudukannya. ...
Read more