Seksyen Cetak
3
Pertandingan
Tujuan Peraturan: Peraturan 3 merangkumi tiga elemen asas pertandingan golf:
  • Bermain sama ada permainan lawan atau permainan pukulan,
  • Bermain sama ada sebagai individu atau dengan pemain rakan sebagai sebahagian daripada regu, dan
  • Pengiraan skor sama ada skor gros (tiada pukulan handikap diguna pakai) atau skor net (pukulan handikap diguna pakai).
3
Pertandingan
3.1

Elemen Asas Setiap Pertandingan

3.1a

Format Permainan: Permainan Lawan atau Permainan Pukulan

(1) Permainan Lawan atau Permainan Pukulan. Kedua-duanya adalah format permainan yang berlainan:
  • Dalam permainan lawan (lihat Peraturan 3.2), pemain dan pemain lawan berlawan di antara satu sama lain berdasarkan pada lubang yang dimenangi, kalah atau seri.
  • Dalam format permainan pukulan (lihat Peraturan 3.3), semua pemain bertanding di antara satu sama lain berdasarkan pada jumlah skor, iaitu mencampurkan jumlah pukulan setiap pemain (termasuk pukulan dan pukulan penalti) untuk setiap lubang dalam semua pusingan.
Kebanyakan Peraturan diguna pakai untuk kedua-dua format permainan, tetapi terdapat juga Peraturan tertentu diguna pakai hanya untuk satu format permainan sahaja. Lihat Prosedur Jawatankuasa, Seksyen 6C(11) (pertimbangan untuk Jawatankuasa jika menguruskan pertandingan yang menggabungkan kedua-dua format permainan dalam satu pusingan). (2) Format Lain Permainan Pukulan. Peraturan 21 merangkumi format lain permainan pukulan (Stableford, Skor Maksimum dan Par/Bogi) yang menggunakan kaedah pengiraan skor yang berlainan. Peraturan 1 hingga 20 diguna pakai dalam format permainan ini, seperti yang diubahsuaikan oleh Peraturan 21.
3.1b

Cara Pemain Bertanding: Bermain Secara Individu atau Regu

Permainan Golf dimainkan oleh pemain yang bertanding sama ada secara individu atau bermain bersama-sama pemain rakan sebagai regu. Walaupun Peraturan 1 hingga 20 dan Peraturan 25 memberikan perhatian kepada permainan individu, Peraturan juga diguna pakai:
  • Dalam pertandingan yang melibatkan pemain rakan (Empatan dan Empat Bola) seperti yang diubahsuaikan oleh Peraturan 22 dan 23, dan
  • Dalam pertandingan berpasukan seperti yang diubahsuaikan oleh Peraturan 24.
3.1c

Bagaimana Pemain Memperolehi Skor: Skor Gros atau Skor Net

(1) Pertandingan Sekata. Dalam pertandingan sekata:
  • “Skor gros” pemain pada suatu lubang atau pusingan merupakan jumlah bilangan pukulan (termasuk pukulan dan pukulan penalti).
  • Handikap pemain tidak diguna pakai.
(2) Pertandingan Handikap. Dalam pertandingan sekata:
  • “Skor net” pemain untuk sesuatu lubang atau pusingan merupakan skor gros yang diselaraskan dengan pukulan handikap pemain.
  • Hal ini dilakukan supaya pemain yang mempunyai kebolehan yang berbeza boleh bertanding dengan adil.
3.2

Permainan Lawan

Tujuan Peraturan: Permainan lawan mempunyai Peraturan spesifik (khususnya memberikan kemenangan dan maklumat mengenai bilangan pukulan yang telah dilakukan) kerana pemain dan pemain lawan:
  • Berlawan di antara satu sama lain di setiap lubang,
  • Boleh melihat permainan setiap pemain, dan
  • Boleh melindungi kepentingan diri sendiri.
3.2a

Keputusan Lubang dan Perlawanan

(1) Menang Lubang. Pemain menang sesuatu lubang apabila:
  • Pemain menamatkan lubang dengan bilangan pukulan paling sedikit (termasuk pukulan dan pukulan penalti) jika dibandingkan dengan pemain lawan,
  • Pemain lawan memberikan kemenangan lubang tersebut, atau
  • Pemain lawan dikenakan penalti umum (kalah lubang).
Jika bola dalam pergerakan pemain lawan  perlu masuk lubang untuk menyamakan keputusan lubang dan bola tersebut dipesongkan atau dihentikan dengan sengaja oleh mana-mana individu apabila bola tersebut tidak mempunyai peluang yang munasabah untuk masuk lubang (seperti apabila bola bergolek melepasi lubang dan tidak akan bergolek semula ke dalam lubang), keputusan lubang telah diputuskan dan pemain memenangi lubang tersebut (lihat Pengecualian kepada Peraturan 11.2a). (2) Lubang Seri. Suatu lubang berkeputusan seri (dikenali juga sebagai “separuh”) apabila:
  • Pemain dan pemain lawan menamatkan lubang dengan bilangan pukulan yang sama (termasuk pukulan dan pukulan penalti), atau
  • Pemain dan pemain lawan bersetuju untuk menganggap lubang tersebut seri (tetapi hal ini dibenarkan selepas sekurang-kurangnya seorang pemain telah melakukan pukulan untuk memulakan lubang tersebut).
(3) Menang Perlawanan. Pemain menang suatu perlawanan apabila:
  • Pemain mendahului pemain lawan dengan lebih banyak lubang jika dibandingkan dengan lubang yang belum dimainkan,
  • Pemain lawan memberikan kemenangan perlawanan tersebut, atau
  • Penyertaan pemain lawan dibatalkan.
(4) Melanjutkan Perlawanan Seri. Jika perlawanan seri selepas lubang terakhir:
  • Perlawanan dilanjutkan satu lubang pada suatu masa sehingga ada pemenang. Lihat Peraturan 5.1 (perlawanan lanjutan merupakan sambungan kepada pusingan yang sama, bukan pusingan baharu).
  • Lubang dimainkan mengikut turutan yang sama seperti dalam pusingan tersebut, kecuali Jawatankuasa menetapkan turutan lubang yang berlainan.
Tetapi Terma Pertandingan boleh menyatakan bahawa perlawanan akan berakhir dengan keputusan seri dan tidak dilanjutkan. (5) Bila Keputusan Muktamad. Keputusan sesuatu perlawanan muktamad seperti yang dinyatakan oleh Jawatankuasa (patut ditetapkan dalam Terma Pertandingan), seperti yang berikut:
  • Apabila keputusan direkodkan pada papan skor rasmi atau tempat lain yang dikenal pasti, atau
  • Apabila keputusan dilaporkan kepada individu yang dikenal pasti oleh Jawatankuasa.
Lihat Prosedur Jawatankuasa, Seksyen 5A(7) (saranan bagaimana keputusan perlawanan dimuktamadkan).
3.2b

Memberi Kemenangan

(1) Pemain Boleh Memberi Kemenangan Sesuatu Pukulan, Lubang atau Perlawanan. Pemain boleh memberikan kemenanganpukulan pemain lawan yang berikutnya, sesuatu lubang atau perlawanan tersebut:
  • Kemenangan Diberikan untuk Pukulan Berikutnya. Hal ini dibenarkan pada bila-bila masa sebelum pemain lawan melakukan pukulan berikutnya.
    • Pemain lawan telah menamatkan lubang dengan skor termasuk pukulan yang telah diberikan kemenangan, dan bola boleh dialihkan oleh sesiapa.
    • Kemenangan diberikan ketika bola pemain lawan masih bergerak selepas pukulan sebelumnya diguna pakai untuk pukulan pemain lawan yang berikutnya, kecuali bola telah masuk lubang (kes yang tidak menjejaskan pemberian kemenangan tersebut).
    • Pemain boleh memberikan kemenangan pukulan pemain lawan yang berikutnya dengan memesongkan atau menghentikan bola dalam pergerakan pemain lawan hanya jika hal itu dilakukan spesifik untuk memberikan kemenangan kepada pukulan yang berikutnya dan apabila tiada peluang munasabah bola tersebut akan masuk lubang.
  • Memberikan Kemenangan Sesuatu Lubang. Hal ini dibenarkan pada bila-bila masa sebelum lubang ditamatkan (lihat Peraturan 6.5), termasuk sebelum pemain memulakan lubang tersebut. Tetapi pemain dan pemain lawan tidak dibenarkan untuk bersetuju memberikan kemenangan lubang di antara satu sama lain untuk tujuan memendekkan perlawanan. Jika mereka berbuat demikian dan mengetahui bahawa hal ini tidak dibenarkan, penyertaan mereka dibatalkan
  • Memberikan Kemenangan Suatu Perlawanan. Hal ini dibenarkan pada bila-bila masa sebelum perlawanan diputuskan (lihat Peraturan 3.2a(3) dan (4)), termasuk sebelum pemain memulakan perlawanan tersebut.
(2) Bagaimana Kemenangan Diberikan. Kemenangan diberikan apabila diberitahu dengan jelas:
  • Hal ini boleh dilakukan sama ada secara lisan atau dengan suatu tindakan yang jelas menunjukkan niat pemain untuk memberikan kemenangan untuk sesuatu pukulan, lubang atau perlawanan (seperti melakukan gerak isyarat).
  • Jika pemain lawan mengangkat bola mereka tetapi melanggar Peraturan disebabkan oleh salah faham kenyataan atau tindakan pemain yang memberikan kemenangan untuk pukulan yang berikutnya, atau lubang, atau perlawanan tersebut, hal ini tidak dikenakan penalti dan bola mesti diletakkan semula di tempat asal (jika tidak diketahui mesti dianggarkan) (lihat Peraturan 14.2). Pemberian kemenangan adalah muktamad dan tidak boleh ditolak atau ditarik balik.
3.2c

Mengguna Pakai Handikap dalam Perlawanan Handikap

(1) Mengisytiharkan Handikap. Pemain dan pemain lawan patut memberitahu handikap mereka kepada satu sama lain sebelum perlawanan. Jika pemain mengisytiharkan handikap salah sama ada sebelum atau semasa perlawanan dan tidak membetulkan kesalahan tersebut sebelum pemain lawan melakukan pukulan mereka yang berikutnya:
  • Mengisytiharkan Handikap Terlalu Tinggi. Penyertaan pemain dibatalkan jika hal ini mempengaruhi bilangan pukulan yang diberikan atau diterima oleh pemain. Jika tidak, tiada penalti.
  • Mengisytiharkan Handikap Terlalu Rendah. Tiada penalti dan pemain mesti menggunakan handikap yang lebih rendah yang telah diisytiharkan untuk mengira bilangan pukulan yang diberikan atau diterima oleh pemain.
(2) Lubang Pukulan Handikap Diguna Pakai.
  • Pukulan handikap diberikan mengikut lubang, dan skor net yang lebih rendah memenangi lubang tersebut.
  • Jika perlawanan seri dilanjutkan, pukulan handikap diberikan mengikut lubang dengan cara yang sama dalam pusingan tersebut (kecuali Jawatankuasa menetapkan cara lain untuk melakukannya).
Setiap pemain bertanggungjawab untuk mengetahui lubang yang mereka memberikan atau menerima pukulan handikap, berdasarkan pada peruntukan indeks pukulan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa (biasanya terdapat pada kad skor). Jika pemain gagal atau tersalah mengguna pakai pukulan handikap pada sesuatu lubang, keputusan yang telah dipersetujui untuk lubang tersebut dikekalkan, melainkan pemain membetulkan kesalahan itu tepat pada masa (lihat Peraturan 3.2d(3)).
3.2d

Tanggungjawab Pemain dan Pemain Lawan

(1) Memberitahu Pemain Lawan Bilangan Pukulan yang Telah Dilakukan. Pada bila-bila masa semasa bermain sesuatu lubang atau selepas lubang ditamatkan, pemain lawan boleh bertanya kepada pemain mengenai bilangan pukulan (termasuk pukulan dan pukulan penalti) yang telah dilakukan oleh pemainpada lubang tersebut. Hal ini membenarkan pemain lawan memutuskan bagaimana untuk melakukan pukulan dan bermain baki lubang yang selebihnya, atau untuk mengesahkan keputusan lubang yang baru ditamatkan. Apabila ditanya mengenai bilangan pukulan yang telah dilakukan, atau apabila memberikan maklumat itu tanpa ditanya:
  • Pemain mesti memberikan bilangan pukulan yang telah dilakukan yang betul.
  • Pemain yang gagal untuk memberikan maklum balas pertanyaan pemain lawan dianggap sebagai memberikan bilangan pukulan yang telah dilakukan yang salah.
Pemain dikenakan penalti umum (kalah lubang) jika mereka memberikan bilangan pukulan yang salah kepada pemain lawan, melainkan pemain membetulkan kesalahan itu tepat pada masa:
  • Bilangan Pukulan Salah Diberikan Ketika Bermain Lubang. Pemain mesti memberikan bilangan pukulan yang telah dilakukan yang betul sebelum pemain lawan melakukan pukulan lain atau mengambil tindakan yang sama (seperti memberikan kemenangan untuk pukulan pemain yang berikutnya atau untuk lubang tersebut).
  • Bilangan Pukulan Salah Diberikan Selepas Lubang Ditamatkan. Pemain mesti memberikan bilangan pukulan yang telah dilakukan yang betul:
    • Sebelum salah seorang daripada pemain melakukan pukulan untuk memulakan lubang lain atau mengambil tindakan yang sama (seperti memberikan kemenangan untuk lubang yang berikutnya atau untuk perlawanan tersebut) atau
    • Pada lubang terakhir perlawanan, sebelum keputusan perlawanan tersebut muktamad (Lihat Peraturan 3.2a(5)).
Pengecualian – Tiada Penalti Jika Tidak Mempengaruhi Keputusan Lubang: Jika pemain memberikan bilangan pukulan yang telah dilakukan yang salah selepas lubang ditamatkan tetapi hal ini tidak mempengaruhi pemahaman pemain lawan sama ada lubang tersebut telah dimenangi, kalah atau seri, hal ini tiada penalti. (2) Memberitahu Pemain Lawan Mengenai Penalti. Apabila pemain dikenakan penalti:
  • Pemain mesti memberitahu pemain lawan mengenai penalti itu secepat mungkin, dengan mengambil kira jarak pemain dengan pemain lawan dan faktor praktikal yang lain. Mungkin tidak selalu dapat memberitahu pemain lawan tentang penalti sebelum pemain lawan melakukan pukulan seterusnya. 
  • Syarat ini diguna pakai walaupun pemain tidak mengetahui tentang penalti tersebut (kerana pemain dijangkakan untuk mengetahui apabila mereka telah melanggar Peraturan).
Jika pemain gagal untuk berbuat demikian dan tidak membetulkan kesalahan itu sebelum pemain lawan melakukan pukulanlain atau mengambil tindakan yang sama (seperti memberikan kemenangan kepada pukulan pemain yang berikutnya atau untuk lubang tersebut), pemain dikenakan penalti umum (kalah lubang). Pengecualian – Tiada Penalti Apabila Pemain Lawan Mengetahui Penalti Pemain: Jika pemain lawan mengetahui bahawa pemain dikenakan penalti, seperti apabila melihat pemain dengan jelas mengambil pelepasan penalti, pemain tidak dikenakan penalti kerana gagal memberitahu pemain lawan mengenai penalti tersebut. (3) Mengetahui Skor Perlawanan. Pemain dijangkakan untuk mengetahui skor perlawanan, iaitu, sama ada salah seorang daripada mereka mendahului dengan bilangan lubang tertentu (“holes up” dalam perlawanan) atau perlawanan seri (juga dikenali sebagai “separuh”). Jika pemain tersalah bersetuju dengan skor perlawanan yang salah:
  • Mereka boleh membetulkan skor perlawanan tersebut sebelum mana-mana pemain melakukan pukulan untuk memulakan lubang lain atau, pada lubang terakhir, sebelum keputusan perlawanan tersebut muktamad (lihat Peraturan 3.2a(5)).
  • Jika tidak dibetulkan pada masa itu, skor perlawanan salah itu menjadi skor sebenar perlawanan.
Pengecualian – Apabila Pemain Meminta Keputusan Tepat Pada Masa: Jika pemain meminta keputusan tepat pada masa (lihat Peraturan 20.1b), dan didapati bahawa pemain lawan sama ada (1) telah memberikan bilangan pukulan yang salah atau (2) telah gagal memberitahu pemain mengenai penalti, skor perlawanan salah mesti dibetulkan. (4) Melindungi Hak dan Kepentingan Diri Sendiri. Pemain dalam perlawanan patut melindungi hak dan kepentingan diri sendiri di bawah Peraturan:
  • Jika pemain mengetahui atau percaya bahawa pemain lawan telah melanggar Peraturan yang mempunyai penalti, pemain boleh bertindak ke atas pelanggaran Peraturan tersebut atau memilih untuk mengabaikannya.
  • Tetapi jika pemain dan pemain lawan bersetuju untuk mengabaikan Peraturan atau penalti yang mereka ketahui diguna pakai, dan salah seorang daripada pemain tersebut telah memulakan pusingan, kedua-duanya akan dibatalkan penyertaan di bawah Peraturan 1.3b.
  • Jika pemain dan pemain lawan tidak bersetuju sama ada salah seorang daripada mereka telah melanggar Peraturan, mana-mana pemain boleh melindungi haknya dengan meminta keputusan di bawah Peraturan 20.1b.
Jika pengadil ditugaskan pada satu perlawanan untuk keseluruhan pusingan, pengadil tersebut bertanggungjawab untuk bertindak ke atas apa-apa pelanggaran Peraturan yang mereka lihat atau diberitahu mengenainya (lihat Peraturan 20.1b(1)).
3.3

Permainan Pukulan

Tujuan Peraturan: Permainan pukulan mempunyai Peraturan spesifik (khususnya mengenai kad skor dan menamatkan lubang) kerana:
  • Setiap pemain bertanding menentang semua pemain lain dalam pertandingan tersebut, dan
  • Semua pemain perlu dianggap sama di bawah Peraturan.
Selepas pusingan tersebut, pemain dan penanda skor (individu yang mencatatkan skor pemain) mesti memperakui skor pemain untuk setiap lubang adalah betul dan pemain mesti menyerahkan kad skor tersebut kepada Jawatankuasa.
3.3a

Pemenang Dalam Permainan Pukulan

Pemain yang menamatkan semua pusingan dengan jumlah pukulan terendah (termasuk pukulan dan pukulan penalti) ialah pemenang. Dalam pertandingan handikap, hal ini bermaksud jumlah pukulan net terendah. Lihat Prosedur Jawatankuasa, Seksyen 5A(6) (Terma Pertandingan patut menyatakan bagaimana keputusan seri akan diputuskan).
3.3b

Pengiraan Skor Dalam Permainan Pukulan

Skor pemain dicatatkan pada kad skor mereka oleh penanda skor, sama ada penanda skor tersebut telah dikenal pasti oleh Jawatankuasa atau dipilih oleh pemain dengan cara yang diluluskan oleh Jawatankuasa. Pemain mesti menggunakan penanda skor yang sama untuk keseluruhan pusingan, kecuali Jawatankuasa meluluskan pertukaran sebelum atau selepas pertukaran tersebut. (1) Tanggungjawab Penanda Skor: Mengisikan dan Memperakui Skor Lubang pada Kad Skor. Selepas setiap lubang semasa pusingan tersebut, penanda skor patut mengesahkan dengan pemain bilangan pukulan pada lubang itu (termasuk pukulan dan pukulan penalti) dan mengisikan skor gros itu pada kad skor. Apabila pusingan tamat:
  • Penanda skor mesti memperakui skor untuk setiap lubang pada kad skor.
  • Jika pemain mempunyai lebih daripada satu penanda skor, setiap penanda skor mesti memperakui skor untuk lubang yang mereka ialah penanda skor, tetapi jika salah seorang daripada penanda skor melihat pemain tersebut bermain pada semua lubang, penanda skor itu boleh memperakui skor untuk semua lubang tersebut.
Penanda skor boleh menolak daripada memperakui skor lubang pemain yang penanda skor percayai salah. Dalam kes sebegini, Jawatankuasa perlu mempertimbangkan bukti yang ada dan membuat keputusan ke atas skor pemain pada lubang tersebut. Jika penanda skor masih enggan untuk memperakui skor pemain, Jawatankuasa boleh memperakui skor lubang tersebut atau menerima perakuan daripada mana-mana individu yang telah melihat tindakan pemain tersebut pada lubang yang dipersoalkan. Jika penanda skor, juga seorang pemain, dengan sedar memperakui skor salah sesuatu lubang, penyertaan penanda skor tersebut patut dibatalkan di bawah Peraturan 1.2a
(2) Tanggungjawab Pemain: Memperakui Skor Lubang dan Menyerahkan Kad Skor. Semasa pusingan, pemain patut mengetahui skor mereka untuk setiap lubang. Apabila pusingan tamat, pemain:
  • Patut berhati-hati memeriksa skor lubang yang diisikan oleh penanda skor dan membangkitkan apa-apa isu kepada Jawatankuasa,
  • Mesti memastikan penanda skor memperakui skor lubang pada kad skor,
  • Mesti tidak mengubah skor lubang yang telah diisikan oleh penanda skor kecuali dengan persetujuan penanda skor atau kebenaran Jawatankuasa (tetapi pemain dan penanda skor tidak dikehendaki untuk membuat perakuan tambahan pada skor yang telah diubahkan), dan
  • Mesti memperakui skor lubang pada kad skor dan menyerahkan kad skor kepada Jawatankuasa dengan segera, selepas itu pemain mesti tidak mengubah kad skor tersebut.
Jika pemain melanggar apa-apa syarat dalam Peraturan 3.3b, penyertaan pemain dibatalkan. Pengecualian – Tiada Penalti Apabila Pelanggaran Peraturan Disebabkan oleh Kegagalan Penanda Skor Melaksanakan Tanggungjawab: Tiada penalti jika Jawatankuasa mendapati pemain telah melanggar Peraturan 3.3b(2) disebabkan oleh kegagalan penanda skor melaksanakan tanggungjawabnya (seperti penanda skor meninggalkan lapangan membawa bersama kad skor pemain atau tanpa memperakui kad skor tersebut), asalkan hal ini di luar kawalan pemain. Lihat Prosedur Jawatankuasa, Seksyen 5A(5) (saranan menetapkan bila kad skor telah diserahkan). Lihat Prosedur Jawatankuasa, Seksyen 8; Model Peraturan Tempatan L-1 (mengurangkan penalti kerana menyerahkan kad skor tanpa perakuan skor lubang). (3) Skor Salah untuk Lubang. Jika pemain menyerahkan kad skor dengan skor salah untuk mana-mana lubang:
  • Menyerahkan Skor Lebih Tinggi Daripada Skor Sebenar. Skor yang lebih tinggi yang diserahkan untuk lubang tersebut dikekalkan.
  • Menyerahkan Skor Lebih Rendah Daripada Skor Sebenar atau Tiada Skor Diserahkan. Penyertaan pemain dibatalkan.
Pengecualian – Kegagalan Memasukkan Penalti yang Tidak Diketahui: Jika satu atau lebih daripada skor lubang pemain lebih rendah daripada skor sebenar kerana pemain tidak memasukkan satu atau lebih pukulan penalti yang tidak diketahui oleh pemain sebelum menyerahkan kad skor tersebut:
  • Penyertaan pemain tidak dibatalkan.
  • Sebaliknya, jika kesalahan tersebut diketahui sebelum pertandingan ditutup, Jawatankuasa akan menyemak semula skor pemain untuk lubang atau lubang-lubang itu dengan mencampurkan pukulan penalti yang patut dimasukkan untuk skor lubang atau lubang-lubang itu di bawah Peraturan tersebut.
Pengecualian ini tidak diguna pakai:
  • Apabila penalti yang tidak dimasukkan tersebut adalah penalti batal penyertaan, atau
  • Apabila pemain telah diberitahu bahawa penalti mungkin dikenakan atau tidak pasti sama ada penalti dikenakan dan pemain tidak membangkitkan hal ini kepada Jawatankuasa sebelum menyerahkan kad skor.
(4) Pemain Tidak Bertanggungjawab untuk Menunjukkan Handikap pada Kad Skor atau Mencampurkan Skor. Tidak perlu menunjukkan handikap pemain pada kad skor atau untuk pemain mencampurkan skor mereka. Jika pemain menyerahkan kad skor yang tersalah menunjukkan atau mengguna pakai handikap, atau mereka telah tersalah mencampurkan skor, hal ini tiada penalti. Sebaik sahaja Jawatankuasa menerima kad skor daripada pemain di akhir pusingan mereka, Jawatankuasa bertanggungjawab untuk:
  • Mencampurkan skor pemain, dan
  • Mengira pukulan handikap pemain untuk pertandingan dan menggunakan handikap tersebut untuk mengira skor net pemain.
Lihat Prosedur Jawatankuasa, Seksyen 8; Model Peraturan Tempatan L-2 (pemain bertanggungjawab mengenai handikap pada kad skor).
3.3c

Gagal Menamatkan Lubang

Pemain mesti menamatkan lubang di setiap lubang dalam sesuatu pusingan. Jika pemain gagal menamatkan lubang pada mana-mana lubang:
  • Pemain mesti membetulkan kesalahan itu sebelum melakukan pukulan untuk memulakan lubang lain atau, pada lubang terakhir pusingan, sebelum menyerahkan kad skor.
  • Jika kesalahan tersebut tidak dibetulkan pada masa itu, penyertaan pemain dibatalkan.
Lihat Peraturan 21.1, 21.2 dan 21.3 (Peraturan untuk format lain permainan pukulan (Stableford, Skor Maksimum dan Par/Bogi)) apabila pengiraan skor berbeza dan penyertaan pemain tidak dibatalkan jika mereka tidak menamatkan lubang).
TEROKAI SELANJUTNYA
Peraturan 1Permainan, Kelakuan dan Peraturan
Tujuan Peraturan: Peraturan 1 memperkenalkan prinsip asas permainan untuk pemain: Bermain di lapangan sedia ada dan bermain bola di kedudukannya. ...
Baca selanjutnya